Thursday, November 10, 2011

Negara mungkin rugi RM2.73 bilion akibat jenayah siber

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Negara mungkin menanggung kerugian sebanyak RM2.73 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang sekiranya jenayah siber tidak ditangani dengan baik, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof berkata, anggaran kerugian itu melibatkan pelbagai tanggungan kos seperti pelindungan privasi dan keselamatan siber.

Beliau berkata, berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerajaan menanggung kerugian berjumlah RM22.3 juta pada tahun 2009 dan jumlah itu meningkat kepada RM62 juta tahun lepas.

Fadillah berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Halimah Mohd Sadique (BN-Tenggara) yang ingin tahu tahap kekuatan dan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi jenayah siber. - Bernama

SUKAN SEA INDONESIA 2011

JAKARTA 10 Nov. - Kesemua negara yang menyertai Sukan SEA ke-26 di Indonesia akan memulakan pemburuan pingat emas pertama temasya melalui acara kenu yang menawarkan lima emas, esok.

Acara tersebut akan diadakan di Danau Cipule, Jawa Barat, kira-kira 90 kilometer dari ibu kota ini.

Walaupun tidak diberikan harapan untuk meraih emas, namun skuad berkenu Malaysia yang terdiri daripada 10 pendayung termasuk lima wanita akan memulakan pencarian pingat pertama negara dari acara tersebut.

Kesemua 10 pendayung itu ke temasya ini di bawah kategori B di mana segala perbelanjaan ditanggung sendiri oleh persatuan namun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan membayar kembali jika atlet tersebut mendapat sekurang-kurangnya pingat perak.

Atlet kategori A ialah bagi yang layak secara merit dan semua perbelanjaan ditanggung oleh MOM. - Bernama